April 28, 2009

Manusia, Masa dan Kerugian

Orang kata, kerja yang dibuat ‘last minutes’ atau pada masa-masa genting mampu melontarkan idea yang baik dan bernas. tengok je la sekarang nie, jika tidak hari ini perlu dihantar kerja kursus yang diberi pensyarah, jarang sekali kami siapkan awal dari ‘deadline’ yang diberi. Oleh kerana sudah faham benar dengan kerenah dan sikap majoriti daripada kami, pensyarah akan memberikan tarikh, masa dan tempat yang terperinci bagi kami menyerahkan tugasan tersebut,huhuhu...

Sejujurnya, sikap ini sememangnya sukar dikikis kerana semakin dekat dengan ‘deadline’, lagi banyak idea yang ‘terhambur’ keluar dari minda. Bukankah itu sesuatu yang baik? Lebih baik daripada tidak buat langsung!

Imam al-Ghazali pernah menyatakan; sesuatu yang paling jauh dan susah untuk dikembalikan semula ialah masa atau waktu yang sudah ditinggalkan. Manusia yang suka menangguhkan pekerjaannya merupakan manusia yang memiliki sikap golongan yang rugi dan gagal kerana tidak menghargai masa yang ada dan terlalu yakin bahawa dia masih mampu untuk menggantikan masa yang berlalu dengan masa yang baru datang.

Terdapat kajian yang dijalankan terhadap golongan ‘penangguh kerja’ ini oleh Profesor Psikologi dari Depaul University, Amerika Syarikat. Profesor Josep Ferrari, yang menjalankan kajian tersebut menyimpulkan bahawa sikap ini disebabkan oleh gangguan jiwa dan keperibadian. Semuanya adalah disebabkan oleh suatu sikap yang sukar dibuang oleh setiap golongan manusia iaitu malas.

Membaca sebuah artikel yang menyentuh perihal golongan ‘penangguh kerja’ ini menyebabkan penulis terpanggil untuk memberikan respon. Secara kritisnya, ada yang menyatakan sikap ini berhubung dengan sikap malas dan tidak optimis. Hujahnya, mengapa perlu ditangguhkan tugasan yang diberi jika sememangnya kita mampu menyudahkannya awal?

Tambahan pula, kerja yang diberikan awal-awal sudah bertangguh, bagaimana pula sekiranya majikan memberikan longgokan kerja lain untuk disiapkan dalam kadar masa ‘deadline’ yang hampir antara satu sama lain? Bukankah akan mengusutkan lagi keadaan dan lebih ditakuti, akan menjejaskan kualiti dan prestasi kerja dimata majikan.

Kata bidalan, ‘Bertangguh itu pencuri masa’. Masakan tidak, masa yang sepatutnya diperuntukkan bagi menyelesaikan tugasan yang diberi, dibiarkan berlalu begitu sahaja sama ada digunakan untuk membuat sesuatu kerja lain yang mungkin langsung luar dari ruang lingkup tugasan; bersantai atau berborak bersama rakan misalnya. Apabila tiba ‘deadline’, barulah terkocoh-kocoh menyiapkan tugasan tersebut!

Dalam surah al-Asr, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.”

Rasulullah s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari; Ibnu Omar berkata: Rasulullah telah memegang bahuku seraya bersabda: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Jika engkau berada pada waktu petang, jangan tunggu sampai pagi. Jika engkau di waktu pagi, jangan tunggu sampai petang. Gunalah peluang masa sihat sebelum datang sakit. Dan gunalah peluang masa hidup sebelum tiba mati.”

Di sini, konsep menghargai waktu sangat dititik beratkan oleh agama. Agama Islam memandang perlakuan membazir masa dan menangguh-nangguhkan tugasan sebagai suatu kerugian yang nyata. Mereka yang tidak mengisikan masanya dengan perkara yang berfaedah ibarat ‘pencuri masa’ yang akhirnya berada di dalam keadaan yang penuh kerugian.

No comments: