September 03, 2009

Falsafah Kemerdekaan & Ramadhan

Salam Ramadhan buat semua. Salam kemerdekaan juga buat seluruh warga Malaysia, erm...tapi ana minta maaflah sebab terlewat sedikit dari tarikh sebenar iaitu 31 Ogos lepas untuk memperkatakan tentang tajuk ini. Apapun, perkongsian berguna tidak kira masa, tempat mahupun keadaan. Kalau nak buat alasan kenapa lewat tulis entry berkaitan kemerdekaan ni, jawapannya sebab hari tu ana busy dengan tuntutan yang perlu diselesaikan, tambahan, pada malamnya ana terpaksa menahan kesejukan air-cond, mengeras dalam bas Mara Liner, dari Pahang menuju ke negeri hujung semenanjung ni...hehehe.

Alhamdulillah, selamat sampai Perlis pada pagi keesokannya. Ramadhan dan merdeka, Alhamdulillah juga, p
ada tahun ini, Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 52-nya dalam bulan yang penuh barakah dan keistimewaan. Diharap dengan keberkatan Ramadhan mampu untuk terus memacu negara ini ke landasan yang lebih baik dan di redhai Allah :) Jika diteliti, ada sedikit persamaan antara falsafah kemerdekaan dan puasa itu sendiri, di mana kemerdekaan dari apa yang dapat difahami oleh ramai orang adalah ianya merupakan keadaan yang bebas dari sebarang belenggu penjajah. Benarkah hanya itu yang dituntut dari kemerdekaan? Tertarik dengan kata-kata Panglima Agung Islam iaitu Jaafar Bin Abi Talib tatkala berdepan Maharaja Rom bagi membebaskan Ardul 'Arab dari cengkaman Rom. apa yang dikatakan olehnya adalah, "kami adalah satu Bangsa yang datang untuk membebaskan manusia dari menghambakan diri sesama manusia kepada menghambakan diri hanya semata-mata pada Allah swt".

Jadi, apa yang difahami tentang kemerdekaan adalah kita sebenarnya tidaklah sebebas seperti yang kita fikirkan kerana kita hanya bebas antara manusia dengan manusia, tidak pada manusia dengan pencipta. Tidaklah kita terlepas dari sebarang tangg
ungjawab yang telah ditentukan oleh agama untuk tidak melakukannya kerana kita masih bergelar hamba, bukan pada manusia tetapi terhadap Allah swt. Apa yang dapat ana lihat sekarang ini, kita jauh terpesong atas nikmat yang dikecapi. Lihat sajalah pada ketika sambutan kemerdekaan, penuh dengan maksiat dan pembaziran. Kita merayakannya juga berlandaskan apa yang dilakukan bekas penjajah kita. Sama saja antara kita dan mereka, berhibur dan berpesta yang menjadi pengisian sepanjang malamnya. Inikah yang dikatakan merdeka? Kita merdeka hanya pada luarannya tetapi bukan pada dalamannya. Pemikiran masih terbelenggu dengan penjajah. Kenapa tidak kita ikat diri kita kepada Allah swt dan kenapa boleh kita ikat diri kita dengan penjajah yang sudah lama keluar dari negara ini 52 tahun dahulu. Justeru, normalnya bagi manusia yang bebas adalah bebas dari cengkaman manusia namun masih terikat dengan arahan dan tuntutan penciptanya.
Apakah pula falsafah puasa? Pendapat ana, puasa pula adalah kita mampu untuk membebaskan diri dari segala godaan hawa nafsu untuk mempersembahkan ibadah terbaik kita untuk disajikan kepada Allah swt. Persamaan antara ibadah yang sedang kita jalankan ini dengan kemerdekaan adalah kita masih terikat dengan Allah swt. Kelainannya pula adalah, kita perlu membebaskan diri dari hawa nafsu yang sentiasa membisik ke arah keburukan. Tapi, sebaliknya juga berlaku. Contoh ketara adalah pembaziran yang berlaku. Ramai yang membeli juadah menurut nafsu makannya, bukan untuk sekadar mengisi perut tetapi bagi membalas apa yang telah tertinggal iaitu sarapan dan makan tengahari. Kesannya badan tersandar di dinding, kaki terlunjur ke depan, amal ibadah yang amat dituntut untuk dilakukan pada malam harinya juga entah ke mana. Perkara sebegini tidak akan berlaku andai kita benar2 dapat membebaskan diri dari belenggu nafsu dan beriman kepadaNya. Ramadhanlah madrasah terbaik dalam memberi didikan, khusus untuk mereka yang beriman dan takut kepadaNya. Firman Allah Taala yang bermaksud:
Wahai orang-orang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah 183)


Secara mudahnya taqwa difahami sebagai melaksanakan semua perintah Allah dan takut akan seksaan Allah dengan menjauhi segala larangan Allah. Melalui ibadah ini yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan sebenar-benar amalan, taqwa dapat disemai. Puasa dibulan Ramadan mengajar kita supaya menjaga mulut, mata, telinga dan sebagainya dari perkara sia-sia dan lagho.

Begitu juga puasa dibulan Ramadan mengajar kita untuk ikhlas semata2 kerana Allah Taala. Perlu diingat, sesungguhnya ibadah puasa adalah rahsia antara hamba dan Allah taala , sesuai de
ngan maksud hadis Setiap amal anak adam dilipatgandakan pahalanya . Satu kebaikan diberi pahala sepuluh sehingga tujuh ratus kali , Allah berfirman, selain puasa kerana puasa itu untuk Ku, Aku akan memberi pahala bagi orang yang berpuasa mengikut kemahuanku , kerana dia meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana Ku................... ” Riwayat Bukhari.

Justeru, apa yang ana dapat simpulakn disini berkaitan merdeka dan puasa adalah, bebaskanlah diri anda dari cengkaman manusia dan nafsu, ikatkanlah diri anda kepada Allah swt semata2. Renungkalah hadis Baginda : Wahai manusia !, telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati ...Ianya adalah satu bulan yang pada awalnya Rahmat, pertengahannya Keampunan dan akhirnya MERDEKA dari api neraka...” Riwayat Muslim. Realisasikanlah falsafah kedua2nya ini agar kita tidak tergolong bersama mereka yang rugi. Salam kemerdekaan ke-52 dan salam Ramadhan Kareem 1430H. Kullu 'am wa antum bi khair. Wallahu a'lam.

No comments: