September 10, 2009

Kemuliaan Ramadhan disulami Nuzul al-Quran

Assalamualaikum buat semua teman2, kali ini ana sekali lagi ingin berkongsi sedikit ilmu yang Allah berikan ini. Bulan Ramadhan seperti diketahui merupakan satu bulan yang amat mulia kerana padanya begitu banyak keistimewaan dan kebesaran yang dianugerahkan Allah kepada umat manusia akhir zaman. Malam al-Qadr, pensyariatan puasa sebulan, nuzul al-Quran dan bermacam2 lagi menghiasi bulan Ramadhan ini. Tulisan kali ini adalah sedikit sebanyak berkaitan dengan nuzul al-Quran.

Nuzul al-Quran merupakan satu rakaman sejarah yang amat penting untuk diketahui oleh seluruh umat Islam terutamanya buat masa kini. Ia merupakan satu peristiwa penurunan al-Quran bermula dari ayat pertama sehinggalah berperingkat2 sehingga menjadi lengkap dan sempurna sepertimana al-Quran yang ada pada masa sekarang. Berlakunya pada malam Jumaat, 17 Ramadan,
tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW menurut kebanyakan qaul jumhur ulama'. ‘Nuzul’ membawa erti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Semua mengetahui bahawa al-Quran merupakan satu mukjizat agung dan 'azim yang dianugerahkan kepada seorang manusia mulia bernama Muhammad saw. Ia bukan sahaja memberi satu kemuliaan kepada Baginda malahan juga untuk umatnya yang mahu memikirkan dan menyelami segala rahsia dan panduan yang terdapat di dalamnya. Al-Quran secara ringkasnya bermaksud bacaan atau himpunan.

Al-Quran mengandungi pelbagai panduan hidup seperti tauhid, ibadah, jinayat, muamalah, sains, teknologi, astronomi dan macam2 lagi. Semua ini melambangkan bahawa al-Quran itu sempurna untuk dijadikan sebagai panduan hidup, tiada kata bahawa al-Quran hanya sesuai pada perkara ini dan ini, hanya sesuai pada masa ini dan ini. Sesungguhnya kesempurnaan Islam melalui kalamnya ini tidak dapat dipertikaikan lagi. Hanya mereka yang tidak berpuas hati dengan deen ini serta sentiasa mencari2 kekurangan (sedangkan memang tidak ada kekurangan dalam Islam itu) yang menyatakan bahawa ajaran al-Quran tidak sesuai pada sesetengah keadaan. Kesempurnaan inilah yang menyerlahkan lagi tentang agungnya al-Quran itu sebagai satu mukjizat yang tiada tolok bandingnya. Bukti yang menyatakan bahawa al-Quran itu sudah sempurna adalah melalui firman Allah swt dalam surah al-An'am ayat 38 yang bermaksud :

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Justeru, sempena ulang tahun peristiwa besar ini, muhasabahlah diri kita, adakah kita tergolong dalam mereka yang rugi, yang tidak memanfaatkan walau sedikit pun ajaranNya ini dalam segenap sudut kehidupan kita. tepuk dada tanyalah iman akhowan dan akhowat semua. Jika masih ada sikap sebegini, jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai batu loncatan atau perintis untuk kita memulakan satu episod baru dalam kehidupan yang hanya sementara ini. Wallahu a'lam...wassalam.

No comments: