December 18, 2009

Salam Ma'al Hijrah 1431

"1 Muharam detik permulaan, perkiraan tahun Islam hijrah, perpindahan Nabi dan umat Islam, dari kota Mekah ke kota Madinah, atas keyakinan dan iman yang teguh, kaum Muhajirin dan Ansar bersatu, rela berkorban, demi agama, demi menegakkan Islam tercinta, hijrah itu pengorbanan, hijrah itu perjuangan, hijrah itu persaudaraan, hijrah membentuk perpaduan, oleh itu mari semua, kita sambut maal hijrah, tingkatkan semangat, tegakkan syiar Islam, untuk sepanjang zaman"

Salam Ma'al Hijrah buat seluruh umat muslimin. Setiap kali datangnya 1 Muharam pasti umat Islam khasnya di Malaysia akan melakukan perhimpunan tidak kiralah diperingkat kampung, daerah, negeri, mahupun kebangsaan. Usaha ini merupakan satu yang amat baik untuk kita memperingati satu peristiwa besar yang berlaku di zaman Nabi Muhammad s.a.w. 1431 tahun yang lepas. Ia sekurang-kurangnya mampu mengingatkan kita terutama golongan muda belia untuk mencontohi kegigihan dan kesabaran serta perpaduan dan pengorbanan saudara seagama kita dahulu dalam mempertahankan aqidah dan pegangan terhadap deen yang hak ini.

Apa yang ingin ana sebutkan di sini adalah, sejauh mana prinsip dan pengertian hijrah itu difahami oleh kita semua. Kita menyambutnya secara besar-besaran, mengeluarkan sepanduk itu dan ini serta macam-macam lagi, namun begitu semangat hijrah itu tidaklah berterusan untuk hari-hari seterusnya. Sampai sekarang, kita masih melihat pelbagai jenis maksiat berlangsung di depan mata, malahan makin bertambah jika dihitung dari angka statistiknya, dengan yang berpakaian seksinya, tidak menutup aurat, gejala zina, buang bayi dan pelbagai lagi yang berlaku, seolah-olah, masyarakat ini bukan mahu untuk menjadi lebih baik, tetapi menjadi yang sebaliknya. Manusia hari ini semakin menghampiri gelaran masyarakat "jahiliyyah" moden seperti yang telah wujud pada zaman Baginda s.a.w. dahulu.

Kita lihat pada lirik lagu hijrah yang berbunyi, "rela berkorban, demi agama, demi mengakkan Islam tercinta" dan juga lirik ini, "tingkatkan semangat tegakkan syiar Islam, untuk sepanjang zaman". Persoalan yang bermain di fikiran ana, berapa banyakkah usaha yang telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk menegak Islam dan syiarnya? Adakah dengan hanya membina masjid-masjid itu sudah dikira menegakkan syiar, mewujudkan saluran televisyen dan radio berunsurkan Islam dikira syiar, membina universiti Islam sebagai syiar? Hakikatnya, semua itu hanyalah syiar yang dilihat secara zahirnya telah membuktikan bahawa Islam bertapak kukuh di bumi ini, namun realitinya ialah kurangnya bi'ah dan suasana yang dilaksanakan dan diwujudkan telah menjadikan umat Islam sebagai Islam pada nama tidak pada personaliti, pergaulan dan sebagainya.

Erm,ok lah. Sekadar itu sahaja yang ana ingin perkatakan. Bukannya mahu mempertikaikan usaha-usaha tertentu yang telah dilaksanakan oleh pihak-pihak terbabit, namun bagi ana mereka sebenarnya mampu untuk mewujudkan sesuatu yang lebih dari itu, tetapi mungkin kerana kejahilan ataupun kesombongan ataupun sebab-sebab lainnya, hanya mampu mewujudkan "umat Islam" yang ada seperti sekarang ini.

Apapun, buat seluruh umat Islam, ucapan Salam Ma'al Hijrah ana hulurkan. Semoga kita tetap dalam jalan da'wah ini, agar kita mampu untuk menguatkan iltizam dan semangat sebagai jundullah yang sentiasa ikhlas dan berjaya dalam segala lapangan yang diredhai olehNya. Semoga hari ini menjadi lebih baik dari semalam. Insha Allah. Ameen ya Rabb....

“Hitung lah diri mu sendiri sebelum engkau dihitung di hari kiamat nanti..."
Sayyiduna Umar al-Khattab r.a.

1 comment:

Anonymous said...

hijrah dari yg baik kepada lebih baik..yang lebih baik kepada terbaik..yang terbaik kepada lebih terbaik...huhu..moga dipermudahkan