February 01, 2010

Duhai Wanita...

Assalamu'alaykum buat semua..

Entri kali ni terasa macam nak jiwang pulak..haha. Erm, mungkin macam jiwang, tapi mungkin x jugak..cuma ana guna ayat ala2 puisi yang puitis gitu gamaknya..hihihi. Sebenarnya, penulisan ana ni hanyalah sebagai nasihat seorang muslim kepada saudara seakidah dengannya. Moga kebaikan dan rahmat mengiringi dalam setiap langkah perjalanan hidup kita..insha Allah..

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ 

Duhai wanita, sesungguhnya kejadianmu begitu indah lagi mempersona, walaupun terciptamu dari tulang rusuk sang Adam yang bengkok, namun dirimu mampu menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang. Umpama bunga mekar berkembang, harum aromamu mampu menarik sang kumbang untuk mendekatimu. 

Andai dirimu dipagari duri, pasti akan memberikan kepayahan kepada sesiapapun untuk mendekatimu, umpama mawar merah, dari jauh sudah terhidu keharumannya. Panahan warnanya yg terserlah indah mengundang kekaguman kepada sang kumbang berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.

Duhai wanita, aku suka kiranya dikau bak mawar aspirasi setiap mujahadah. Bentengilah kubu dirimu bersama perasaan malu yg bertunjangkan keimanan dan takwa kepada Allah. Hiasilah wajahmu dengan titisan wudhuk. Ingatlah, wanita yang solehah idaman sang soleh...seindah-indah hiasan adalah wanita solehah.

Bukankah menjadi indah dan berharga jika sesuatu benda itu tertutup tidak terdedah, umpamanya sebutir permata terdedah kepada umum dengan permata yg diletakkan dalam bekas tertutup. Naluri sesiapa sahaja akan berkata bahawa yang tertutup itu lebih menarik perhatian melebihi yang terbuka dan tercemar kepada semua

Sedarlah, wanita solehah merupakan harapan buat hidup insan bergelar Adam. Namun mampukah dikau menjadi solehah andai darah mudamu sentiasa terikut dengan hal-hal duniawi yang melalaikan, mengatasi iman yang tersemat di jiwa. Ingatlah, pilihan pada diri sendiri, sesiapa yang mahukan kebaikan, maka Allah akan mempermudahkan jalan-jalan baginya ke arah itu. Apa yang penting duhai wanita, milikilah azam, perbanyakkanlah usaha dan istiqamahlah ke jalan syurga itu.

Duhai wanita, akuilah, dirimu sebenarnya menjadi fitnah buat lelaki. Seandainya pakaian malumu kau tanggalkan dari tubuhmu, maka sudah pasti hilanglah perisai yang membentengimu. Ingatlah dengan peringatan Baginda saw bahawa 

"tidak ada suatu fitnah yang lebih besar, yang lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain fitnah yang berpunca dari kaum wanita." 

Oleh itu duhai wanita, setiap langkah dan tindakanmu hendaklah berpaksikan kepada dua tinggalan berharga dari Baginda saw. Janganlah sesekali dikau membenarkan sesiapa sahaja mengeksploitasikan dirimu. Sesungguhnya al-Khaliq menciptamu dengan keistimewaan, mengangkatmu dengan penuh kewibawaan. Dikau harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bakal menggoncang dunia dengan sentuhan lembut tanganmu.
 
Duhai wanita, hidupmu ingin menyayangi dan disayangi. Ia juga fitrah semulajadi untuk sang lelaki, namun ramai antara kaummu yg tewas kerana cinta. Ketahuilah, bercinta tidak salah, tetapi memuja cinta itu yang salah. Cinta kepada makhluk melebihi cinta Tuhan sendiri. Apakah ini patut?? 

Sedarlah, cinta manusia sebenarnya mampu menjual maruah juga agama. Sesungguhnya cinta itu buta. Cinta itu mampu membutakan mata dan hatimu dalam membezakan perkara yg hak dan batil, jika engkau meletakkan cinta itu atas dasar nafsu semata-mata. 

Sebelum engkau mendekati cinta, cintailah dirimu terlebih dahulu. Cintailah dirimu yang istimewa itu dengan melihat sejarah kejadianmu. Semoga perasaan sebegitu mampu melahirkan rasa keagungan dan kehebatan terhadap Allah dan dengan itu akan timbul cinta dan kasihmu terhadap penciptamu.

Duhai wanita, menyintai Allah dan Rasul melebihi cinta terhadap makhluk adalah cinta yg hakiki dan abadi...